Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengumumkan empat calon, termasuk Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon, untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Timbalan Presiden PBM Haniza Talha berkata, calon berkenaan ialah Muhammad Hanis Asmui Md Salleh di Dun Maharani, Mohd Azmi Ali di Tiram, Steven Choong di Puteri Wangsa dan Muhammad Saiful Bahari Sahari di Stulang.

Beliau berkata, calon itu akan membawa aspirasi berasaskan enam tunjang utama iaitu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan pembabitan golongan muda, memperkasa peranan wanita, pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi dan meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.

"Kami sangat realistik, sebelum membuat keputusan untuk masuk ke gelanggang, kami buat tinjauan. Pengundi sudah muak dengan parti-parti lama dan mereka sudah tahu tindak tanduk parti lama.

"Walaupun tiga daripada empat calon adalah muka baharu, mereka adalah aktivis yang membantu masyarakat sepanjang pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman calon PBM PRN Johor mewakili Presiden PBM Larry Sng Wei Shien, di Puteri Wangsa di sini hari ini.

Larry tidak dapat hadir kerana menjalani kuarantin kendiri berikutan dia adalah kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) mengumumkan calon yang bakal bertanding di PRN Johor di Puteri Wangsa hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
PARTI Bangsa Malaysia (PBM) mengumumkan calon yang bakal bertanding di PRN Johor di Puteri Wangsa hari ini. FOTO Mary Victoria Dass

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 2:44 PM