KAMARUL Zaman ( dua, kanan) menyampai sijil kepada peserta Kursus Asas Light Strike Force (LSF) Kontinjen Johor 2022 di Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar. FOTO Essa Abu Yamin
KAMARUL Zaman ( dua, kanan) menyampai sijil kepada peserta Kursus Asas Light Strike Force (LSF) Kontinjen Johor 2022 di Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin

Muar: Seramai 233 anggota Unit Tempur Ringan (LSF) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor akan ditugaskan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bermula pada hari penamaan calon Sabtu ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, anggota yang baru sahaja tamat menjalani kursus asas LSF berkenaan akan melakukan rondaan di kawasan masing-masing.

"Pada hari penamaan calon dan hari pembuangan undi, mereka juga akan berada di tempat-tempat yang telah ditetapkan seperti di kawasan tumpuan utama mengundi.

"Jumlah berkenaan adalah termasuk 3,000 anggota dan pegawai yang akan bertugas sepanjang proses PRN Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Asas Light Strike Force (LSF) Kontinjen Johor 2022 di Maktab Teknik PDRM Bakri dekat sini, hari ini.

Kamarul berkata, pasukan bantuan daripada lain-lain kontinjen sememangnya sudah bersiap sedia dan jumlah yang sedia ada di Kontinjen Johor ketika ini sudah mencukupi untuk hari penamaan calon.

"Kontinjen Johor juga telah menubuhkan beberapa pasukan pemantau bagi memastikan kelancaran proses PRN dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Semua pihak diminta mematuhi peraturan dan mengikuti nasihat serta arahan yang diberikan anggota bertugas supaya ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.

Pada Sabtu ini, sesi penamaan calon membabitkan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor akan berlangsung disusuli dengan tempoh berkempen selama 14 hari sebelum tarikh pengundian pada 12 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 2:08 PM