Foto hiasan
Foto hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Sebanyak 23 kawasan di daerah ini mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan paip pecah di Jalan Batang Berjuntai di sini, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi aplikasinya memaklumkan pihaknya menutup bekalan air pada 3.10 pagi bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan.

"Sehingga 11 pagi, kerja pembaikian masih giat dijalankan dengan peratusan mencapai 70 peratus.

"Segala tindakan perlu sedang diambil bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan," katanya.

Air Selangor berkata, antara kawasan yang mengalami gangguan bekalan air itu adalah Pekan Batang Berjuntai, Taman Pancaran, Taman Sri Indah, Taman Pelangi, Taman Kilauan, Taman Sri Cahaya, Taman Cahaya Indah, Jalan Rawang, Kampung Asahan, Kampung Tanjung Siam, Kampung Kuantan, Teluk Penyamun, Kampung Sepakat, seluruh Bukit Rotan, Kampung Api-Api dan Taman Bendahara.

Selain itu, kawasan lain yang turut terjejas adalah Taman Telaga Tujuh, Taman Paduka, Taman Sri Piai, Taman Sirambai, Taman Kuala Selangor Utama, Taman Kuala Selangor Jaya dan Assam Jawa.

"Sasaran awal kerja pembaikian siap pada 3.10 petang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 12:12 PM