Ahli kelab Collectors Toy Fair Kuala Lumpur (CTFKL), Kelab Motorsikal Kecil (MyKSR) ketika mengagihkan mainan kepada kanak-kanak di kawasan pedalaman di beberapa negeri termasuk Pahang, Kedah dan Perak. FOTO Ihsan  CTFKL dan MyKSR
Ahli kelab Collectors Toy Fair Kuala Lumpur (CTFKL), Kelab Motorsikal Kecil (MyKSR) ketika mengagihkan mainan kepada kanak-kanak di kawasan pedalaman di beberapa negeri termasuk Pahang, Kedah dan Perak. FOTO Ihsan CTFKL dan MyKSR
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menunggang motosikal beratus kilometer sehari demi memberi mainan secara percuma kepada kanak-kanak kurang kemampuan dan anak-anak yatim di luar bandar.

Itulah aktiviti amal yang dilakukan oleh ahli kelab gabungan Collectors Toy Fair Kuala Lumpur (CTFKL) dan Kelab Motosikal Kecil (MyKSR) untuk menggembirakan kanak-kanak terbabit di lokasi-lokasi terpilih di semenanjung.

Menurut Pengasas CTFKL, Wan Muhammad Aznan Wan Azmi, 49, pihaknya mula mengumpul permainan untuk diagihkan kepada kanak-kanak di secara percuma sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada 2012.

"Dari situ timbul idea saya untuk agih mainan ini secara percuma kepada kanak-kanak di seluruh semenanjung. Kebetulan saya juga ahli MyKSR, jadi kami buat keputusan untuk lakukan aktiviti gabungan dua kelab ini yang kami namakan Ride Mainan Jatuh Ke Riba," katanya ketika dihubungi.

Bercerita lanjut, anak kelahiran Sik ini berkata sejak 2018 sebanyak 2,000 unit mainan sudah diagihkan termasuk kepada kanak-kanak termasuk perkampungan orang asli di Pahang.

Katanya, kira-kira seramai 10 hingga 11 ahli dari kelab motosikal MYKSR dan CTFKL akan menunggang motosikal ke lokasi yang dikenal pasti setelah mendapat kebenaran daripada pengurusan dan pimpinan kampung atau Tok Batin.

"Sepanjang perjalanan kami akan singgah di rumah anak-anak yatim dan kampung-kampung untuk agihkan mainan. Kami juga akan berhenti berikan mainan sekiranya ternampak kanak-kanak di tepi jalan atau di padang bola.

"Kami pilih untuk guna jalan biasa. Kadang-kadang jika berkesempatan saya menunggang secara solo atau berdua dengan abang saya Wan Azmawi (51)," katanya.

Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi ketika melakukan kerja amal itu, Wan Muhammad Aznan berkata mereka terpaksa menunggang dalam tempoh yang panjang antara 18-20 jam sehari tanpa henti berikutan perlu mengejar masa yang terhad.

Katanya, ini berikutan aktiviti itu hanya dapat dilakukan pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad kerana ahli kelab berkenaan turut mempunyai komitmen dalam kerjaya masing-masing.

"Kami ada sumber kewangan yang terhad menggunakan wang sendiri dan sumbangan dari rakan-rakan, tidak ada tajaan daripada mana-mana pihak.

"Selain itu apabila hujan, mainan yang dibawa akan mudah basah dan rosak.

"Bagaimanapun, segala penat lelah itu berbaloi apabila melihat senyuman dan gelak ketawa kanak-kanak yang menerima mainan daripada kami," katanya.

Katanya kanak-kanak di kawasan pedalaman dan kampung sangat menghargai setiap mainan baharu yang diterima.

"Ada juga yang tak pernah dapat atau tengok mainan seperti Hot Wheels dan Lego, malah mereka tak tahu cara nak buka serta bermain seperti Lego.

"Apa pun mainan ini sebenarnya boleh membantu kanak-kanak membangunkan kemahiran menyelesaikan masalah dan juga mengajar kanak-kanak tentang perkongsian selain membantu mengembangkan kemahiran motor halus dan kasar serta memupuk kreativiti dan imaginasi mereka," katanya.

Beliau berharap aktiviti itu akan dapat diteruskan ke kawasan pedalaman lain selain lebih ramai pihak yang dapat mengikuti jejak mereka selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 2:55 PM