AHLI kelab Star Wars Fanboy membetulkan susunan figura di gerai mereka.
AHLI kelab Star Wars Fanboy membetulkan susunan figura di gerai mereka.
PENGUNJUNG sanggup beratur panjang sejam sebelum pembukaan CTFKL2.
PENGUNJUNG sanggup beratur panjang sejam sebelum pembukaan CTFKL2.
AHLI kelab Kamen Rider Maniac tidak melepaskan peluang untuk bergambar di gerai mereka.
AHLI kelab Kamen Rider Maniac tidak melepaskan peluang untuk bergambar di gerai mereka.
Oleh Saiful Iskandar Ismail


Membesar dengan komik, siri televisyen serta filem bercorak fiksyen sains membuatkan ramai golongan dewasa umpama lupa diri apabila berpeluang berbicara mengenai watak yang menjadi idola sejak kecil.

Masing-masing mempunyai nilai sentimental tersendiri apabila berbicara mengenai watak berkenaan walaupun menyedari ia sekadar imaginasi dan khayalan semata-mata.

Namun, itu bukan penghalang buat mereka memupuk hobi dan minat terhadap watak terbabit secara menyimpan koleksi miniatur, replika atau pakaian berkaitan watak cerita komik, siri televisyen dan filem berkenaan.

Justeru tidak hairan apabila ada peminat watak Kamen Rider, Star Wars, GI Joe, Transformers, Lego, Gundam, Super Sentai/Power Rangers, Marvel, Ultraman, Dragonball, Iron Man, Spider Man, di samping replika kerdil kereta api, jet pejuang, kereta kebal, motosikal dan kereta lumba.

Minat dan hobi yang dipupuk bukan setakat memenuhi kepuasan diri, malah mampu diperkembangkan kepada perniagaan kecil-kecilan. Di Malaysia, golongan yang berkongsi minat terhadap miniatur ini bukan sedikit, malah mencapai ribuan pengikut di seluruh negara.

Hakikat itu terbukti apabila lebih 5,000 peminatnya membanjiri pameran koleksi mainan, Collectors Toy Fair Kuala Lumpur 2 (CTFKL2) di Kompleks Sukan Datuk Keramat, baru-baru ini.

Acara berlangsung mulai jam 10 pagi hingga 6 petang itu menarik penyertaan 200 pemilik koleksi, termasuk 26 kelab hobi dan mainan dari seluruh negara.

Penganjur, Wan Muhammad Aznan Wan Azmi, 41, berkata, beliau menganjurkan acara itu kerana tiada pihak lain berminat berbuat demikian selepas kali pertama dianjurkan pada 2012 meskipun hobi dan minat itu mempunyai ramai pengikut.

“Disebabkan tiada pihak yang menganjur, saya tekad mempromosi pertemuan ini menerusi Internet, terutama laman sosial Facebook, sehingga berhasil menarik persetujuan 200 penyertaan pada hari ini.

“Pertemuan ini bukan setakat menjadi medan bertukar pengalaman dan berkongsi minat sama dengan rakan, malah menjadi medan jual beli koleksi atau peniaga yang menawarkan produk kepada peminat,” katanya yang juga pensyarah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara.

Wan Muhammad Aznan menyifatkan kejayaan CTFKL2 setanding penganjuran acara seumpama itu di Amerika Syarikat.

Katanya, kebanyakan koleksi dimiliki peminat miniatur terbabit bernilai tinggi dan ia bukan mainan sesuai buat kanak-kanak.

Malah, sesetengah pemilik koleksi tidak membenarkan anak sendiri menyentuh koleksi berharga itu sesuka hati.

“Mainan selalu dikaitkan untuk kanak-kanak tetapi yang ada di CTFKL untuk orang dewasa yang suka mengumpul koleksi.

“Kami fokus pada pengumpulan miniatur tertentu yang harganya mahal serta tidak sesuai bagi kanak-kanak. Bagaimanapun, ada koleksi untuk kanak-kanak dijual pada harga murah bagi mainan anak pengunjung atau peserta,” katanya.

Wan Muhammad Aznan berkata, CTFKL bukan acara bermotifkan keuntungan, sebaliknya menjadi medan pertemuan dan berkongsi minat sama, malah harga tiket RM1 dan penyertaan RM50 disumbangkan kepada pertubuhan kebajikan.

Pereka grafik, Eudean Shaibi, 39, yang juga ‘Star Wars Fanboy’ berkata, beliau dan rakannya menggilai filem serta watak fiksyen sains yang disajikan dalam filem Star Wars.

“Star Wars Fanboy lebih kepada kumpulan sembang me­ngenai watak filem ini. Apabila mahu mengadakan acara lebih besar, kami bernaung di bawah Star Wars Malaysia Fanclub yang mempunyai pengikut di seluruh negara.

“Selain berkongsi pengalaman dan berita, kami menjual produk Star Wars kepada peminat dan orang ramai menerusi acara perjumpaan seperti ini,” katanya.

Bagi Hafiz Ibrahim, 39, kerjaya stabil dimiliki kini membolehkan dia memenuhi impiannya sejak kecil iaitu memiliki koleksi watak GI Joe.

“Ketika di bangku sekolah rendah dan menengah, saya meminati siri GI Joe. Apabila mempu­nyai pendapatan sendiri, sejak 10 tahun lalu hingga kini saya berusaha mengumpul koleksi menjadi idaman selama ini.

“Minat ini dikongsi bersama rakan dan kami sepakat membawa koleksi masing-masing pada pesta ini untuk tatapan pengunjung serta berjual beli dengan mereka yang berminat,” katanya yang tampil bersama beberapa rakan mempamerkan koleksi bernilai kira-kira RM20,000.

Pengunjung, Qayyum Azman, 30, berkata, dia tidak melepaskan peluang sejurus mengetahui pe­nganjuran CTFKL kerana memberikan manfaat kepadanya melihat koleksi milik orang lain, sambil berusaha menambah kolek­si peribadi.

Mohd Nizam Yusof, 41, yang mula memupuk minat mengumpul robot miniatur sejak 10 tahun lalu, menyifatkan hobi dimiliki kebanyakan peminat koleksi terbabit memenuhi impian ketika kanak-kanak tetapi hanya mampu berbuat demikian apabila menginjak dewasa selepas memiliki kerjaya dan pendapatan tetap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:04 AM