Lelaki yang menunggang secara berbahaya ditahan polis dan (gambar kanan) aksi ‘wheelie’ yang dilakukan lelaki berkenaan di Taman Impian Emas, Skudai tular di media sosial. Foto Ihsan PDRM dan Pembaca
Lelaki yang menunggang secara berbahaya ditahan polis dan (gambar kanan) aksi ‘wheelie’ yang dilakukan lelaki berkenaan di Taman Impian Emas, Skudai tular di media sosial. Foto Ihsan PDRM dan Pembaca
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Kemaruk meraih perhatian netizen di media sosial dengan memaparkan aksi menunggang motosikal secara berbahaya bersama seorang kanak-kanak mengundang padah apabila seorang lelaki ditahan polis kerana aksinya itu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan video tular di media sosial berkenaan pada 3 petang hari ini.

Menurutnya, video berdurasi 36 saat itu memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal Honda EX5 secara berbahaya.

Katanya, video berkenaan juga menunjukkan terdapat seorang kanak-kanak perempuan bersama lelaki berkenaan.

"Lelaki itu melakukan aksi 'wheelie' di Jalan Bukit Impian 1, Taman Impian Emas, Skudai di sini, dipercayai semata-mata bagi meraih perhatian warganet di media sosial," katanya.

Rupiah berkata, aksi berkenaan dirakamkan menerusi bantuan rakan lelaki itu sebelum ia dimuat naik ke Facebook (FB) pada 7 malam, 15 Februari lalu.

Menurutnya, hasil siasatan polis berjaya mengesan dan menahannya bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

"Dalam kes ini, tiga saman turut dikeluarkan termasuk kerana nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar.

"Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak memandu kenderaan dengan melakukan aksi yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri mahupun pengguna jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 11:33 PM