SEPULUH Pati warga Indonesia ditahan Tim Quick Reaction Force (QRF) Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2). FOTO Ihsan ATB2
SEPULUH Pati warga Indonesia ditahan Tim Quick Reaction Force (QRF) Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2). FOTO Ihsan ATB2
Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Cubaan 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) menyusup masuk secara haram dengan menjadikan kandang kambing sebagai tempat persembunyian gagal apabila ditahan Tim Quick Reaction Force (QRF) Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), hari ini

Dalam kejadian 5.50 pagi itu, kesemua Pati warga Indonesia yang menaiki dua bot laju berjaya dikesan pasukan keselamatan yang menjalankan Ops Benteng Bersama di kawasan berkenaan.

Komander ATB2 Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, dua bot laju dikesan bergerak dari arah Pulau Sebatik, Indonesia menuju ke kawasan jeti pemunggahan balak, berhampiran Kampung Kurnia Jaya, dekat sini, sebelum bersembunyi di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, selepas 20 minit Tim QRF melaksanakan operasi pencarian akhirnya berjaya mengesan kedudukan Pati yang bersembunyi di dalam sebuah kandang kambing.

"Manakala dua buah bot laju dipercayai sudah berpatah balik ke sempadan perairan selepas menurunkan kesemua Pati berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

KANDANG kambing yang dijadikan tempat persembunyian Pati warga Indonesia. FOTO Ihsan ATB2
KANDANG kambing yang dijadikan tempat persembunyian Pati warga Indonesia. FOTO Ihsan ATB2

Abdul Karim berkata, hasil pemeriksaan mendapati mereka terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita masing-masing berusia antara 19 hingga 51 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk menjalani ujian saringan Covid-19 serta tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 5:55 PM