Hishammuddin (kanan).
Hishammuddin (kanan).
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Usaha kerajaan mengurangkan prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai sebelum ini sudah pun siap dan akan diumumkan kelak.

Ia sejajar ketika negara menuju pembukaan semula semua sektor dengan selamat atau #ReopeningSafely dan peralihan dari fasa pandemik ke fasa endemik.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, matlamat utama kerajaan di sebalik usaha itu ialah merangka SOP yang mudah difahami dan dipatuhi oleh orang ramai.

"Ia penting memandangkan di fasa endemik kelak, hakikat yang harus diterima ialah kita perlu hidup bersama virus Covid-19.

"Ini bermakna, virus yang berbahaya ini masih berada di persekitaran sekali gus memerlukan orang ramai faham dan kekal patuh kepada SOP.

"Perincian garis panduan dan SOP yang telah siap dirangka ini akan diumumkan kelak apabila selesai dibawa untuk perbincangan dan dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, namun secara umumnya beliau boleh maklumkan hari ini, dalam peralihan dari fasa pandemik ke fasa endemik, kerajaan fokus kepada satu SOP am yang boleh berkuatkuasa menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan sembilan garis panduan.

Katanya, SOP am berkenaan ialah berkaitan langkah tetap untuk mengawal penularan seperti memakai pelitup muka, panduan pengudaraan, check in MySejahtera, syarat lengkap vaksin dan lain-lain.

"Manakala sembilan garis panduan berkenaan pula merangkumi aktiviti-aktiviti dalam pelbagai sektor.

"Garis panduan ini tidak boleh dikuatkuasakan tetapi menjadi tanggungjawab rakyat untuk memahami dan mengamalkannya dengan sebaik mungkin.

"Sebaik sahaja SOP am dan garis panduan berkenaan dimaklumkan kepada umum,

rakyat perlu memainkan peranan bersama pihak berkuasa dengan mengelak

daripada melakukan perkara-perkara yang boleh meningkatkan risiko jangkitan," katanya.

Beliau berkata, ia selari dengan fokus ketiga perancangan kerajaan dalam menuju ke fasa endemik iaitu pemerkasaan masyarakat atau community empowerment.

Dua lagi fokus, katanya, ialah kawalan bersasar atau targeted control dan kesedaran terhadap virus atau good virus awareness.

"Sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan rakyat agar tidak bersikap sambil lewa dalam memanfaatkan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan.

"Terus kukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan mengamalkan TRIIS, iaitu TEST, REPORT, ISOLATE, INFORM, SEEK," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 6:37 PM