GAMBAR hiasan. Petugas SPR menguruskan SOP bagi pengundi pada PRN Melaka, tahun lalu. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Petugas SPR menguruskan SOP bagi pengundi pada PRN Melaka, tahun lalu. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pengenalan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti diamalkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjadikan PRN Johor berjalan lancar.

Ini kerana jangkitan kes Covid-19 selepas pilihan raya di Melaka menunjukkan trend terkawal dan ia tidak menular di dalam komuniti.

Pengarah Eksekutif Divisyen Kesihatan Dr Mohd Shafiq Wahab berkata, kadar kebolehjangkitan di seluruh negara ketika ini ialah 1.14 dan di Johor adalah 1.15 setakat Sabtu lalu.

Katanya, tiada kempen secara fizikal, perhimpunan secara beramai-ramai dan pengundi yang sudah lengkap divaksin menjadi faktor PRN dapat dilaksanakan dengan baik.

"Cabarannya adalah sekarang ini kita berdepan dengan apa yang dikenali sebagai gelombang keempat jangkitan Covid-19.

"Omicron ini kadar jangkitan sangat cepat. Walaupun tidak banyak kadar kematian dicatatkan dan ia berkemungkinan sama ada varian itu tidak terlalu agresif atau sebab lain.

"Saya rasa kesedaran rakyat pun semakin baik dan tahu menjaga diri. Ada kemungkinan juga peratus keluar mengundi rendah kerana orang ramai masih dalam keadaan berjaga-jaga," katanya.

Menurutnya, kes jangkitan harian ini kebanyakannya berada pada tahap satu serta dua dan itu akan menjadi faktor kepada pengendalian PRN Johor dengan lebih mudah.

Katanya, dengan pematuhan SOP yang betul dari petugas serta penyokong parti, ia akan menjadikan PRN ini selamat kepada semua.

"Segala-galanya bergantung kepada disiplin diri, pematuhan SOP oleh semua pihak sama ada pengundi, petugas parti, jentera dan pengunjung luar.

"Kita tidak boleh menjangkakan apa-apa, namun PRN bukanlah penyebab berlakunya gelombang jangkitan baru jika semua aspek yang sewajarnya diamalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 1:33 PM