GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kapit: Kurang 24 jam sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN) berlangsung esok, kira-kira 1.21 juta pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka diingatkan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pengundi dinasihatkan agar keluar mengundi mengikut masa yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pengundian dapat berjalan lancar.

"Ini juga bagi memastikan suasana pengundian yang selamat untuk semua, di kala kita masih berhadapan dengan cabaran wabak Covid-19.

"Bukan sahaja pengundi, saya juga berharap semua calon, termasuk calon-calon GPS akan turut mematuhi segala SOP yang telah digariskan," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Nanta, yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, tempoh berkempen selama 12 hari telah menunjukkan kejayaan semua pihak mematuhi segala SOP ditetapkan.

"GPS sering menekankan kepentingan untuk semua pihak termasuk calon-calon supaya sentiasa patuh kepada peraturan dan SOP. Meskipun PRN12 ini sesuatu yang dinanti-nantikan oleh semua, tetapi keselamatan dan kesihatan rakyat tetap menjadi keutamaan kami.

"Kita telah berjaya mengharungi tempoh berkempen dengan SOP yang ketat disebabkan oleh penularan wabak Covid-19. Jadi saya berharap, pematuhan rapi ini akan diteruskan esok," katanya.

PRN Sarawak ke-12 menyaksikan kesemua 82 kerusi DUN dipertandingkan membabitkan 349 calon daripada 10 parti politik serta calon Bebas.

Di bawah Parlimen Kapit, GPS mempertaruhkan tiga calon iaitu Jefferson Jamit Unyat bagi kerusi Bukit Goram, Wilson Nyabong Ijang (Pelagus) dan satu muka baharu, Lidam Assan yang bertanding di DUN Katibas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 3:45 PM