Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan peningkatan dan bertambah baik, hari ini.

Dalam satu kenyataan, anaknya Datin Paduka Marina Mahathir berkata, bapanya mempunyai selera makan yang bertambah baik dan sempat berseloroh dengan ahli keluarga di sisi beliau di Institut Jantung Negara (IJN).

Marina berkata, Dr Mahathir juga sudah diberitahu mengenai ucapan selamat yang disampaikan begitu ramai pihak termasuk pemimpin negara asing serta orang ramai.

"Tun Dr Mahathir berserta keluarga, berasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan agar beliau segera pulih.

"Beliau juga memohon agar orang ramai tidak terlalu bimbang mengenai keadaan kesihatannya," katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Menurutnya, Dr Mahathir akan terus mendapat rawatan di IJN di bawah pengawasan pakar tempatan.

Buat masa ini, IJN masih tidak membenarkan pelawat selain dari keluarga terdekat.

Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Januari bagi menjalani prosedur perubatan elektif berkenaan yang dikendalikan sepasukan doktor daripada institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 7:22 PM