UNIT Udara JBPM menggunakan helikopter memadamkan kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di sini. FOTO Danial Saad
UNIT Udara JBPM menggunakan helikopter memadamkan kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di sini. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Operasi pemadaman menggunakan kaedah pengeboman air di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, di sini yang terbakar dalam kejadian Rabu minggu lalu dijangka berterusan sehingga petang ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata operasi pemadaman itu kini tertumpu kepada dua seksyen di fasa satu tapak pelupusan sampah berkenaan.

Menurutnya, satu bom air boleh mengisi sehingga 1,600 liter air.

"Kaedah pemadaman dari udara atau pengeboman air kini sedang giat dijalankan bermula kira-kira jam 10.45 pagi bagi memadam api yang masih lagi marak di kawasan tersebut.

"Operasi hasil keputusan Jawatankuasa Bencana Daerah berkaitan dijalankan oleh lapan anggota dengan menggunakan dua helikopter dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang dan Unit Udara JBPM Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik dalam laman sosial rasmi Facebook, di sini, hari ini.

Terdahulu, tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang Rabu minggu lalu dan ia masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya hingga hari ini.

Anggaran keluasan yang terbabit dengan kebakaran adalah 6.5 hektar dan tindakan awal sudah diambil oleh pihak JBPM negeri yang hari ini melakukan pemadaman di udara menggunakan kaedah pengeboman air.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 4:07 PM