JHEAT. FOTO Facebook
JHEAT. FOTO Facebook
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan meneruskan pembayaran insentif bulanan kepada semua jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah di negeri ini.

Ketua Penolong Pesuruhjaya JHEAT (Dakwah), Zahari Sulong berkata, bayaran insentif sebanyak RM100 sebulan kepada 328 jurumandi dan pembantu jurumandi yang berdaftar membabitkan akan dibuat bulan depan.

Katanya, pembayaran insentif selama enam bulan, mulai Januari lalu itu, membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM196,800.

"Pembayaran insentif sepatutnya dibuat secara bulanan, tapi kita menghadapi kekangan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 sejak Januari lalu.

"Kerja mengemaskini borang baharu termasuk menyenaraikan semula penerima yang berdaftar sebelum tahun ini sedang giat dilaksanakan," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Zahari berkata, kerajaan negeri melalui JHEAT juga menyediakan peruntukan sebanyak RM720,000 untuk pembayaran imbuhan kepada jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah.

Katanya, setiap jurumandi akan menerima bayaran imbuhan pemandian jenazah pada kadar sebanyak RM100 dan RM50 kepada pembantu.

"JHEAT juga turut menyediakan bantuan khairat kematian sebanyak RM2,000 kepada jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah yang berkhidmat lima tahun ke atas, manakala RM1,000 untuknyang berkhidmat kurang daripada lima tahun," katanya.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, sumbangan insentif dan khairat kematian itu disediakan sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kerajaan negeri atas khidmat bakti golongan itu dalam menunaikan tuntutan fardu kifayah kepada masyarakat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 10:00 AM