Minyak masak. FOTO ARKIB NSTP
Minyak masak. FOTO ARKIB NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi supaya mematuhi syarat ditetapkan kerajaan bagi memastikan bekalan barangan kawalan itu sentiasa mencukupi.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat pembungkusan semula dilantik KPDNHEP yang didapati menyeleweng daripada syarat ditetapkan.

Katanya, syarikat terbabit perlu memastikan pengeluaran minyak masak bersubsidi iaitu dalam paket satu kilogram dipenuhi berdasarkan syarat ditetapkan dan memastikan ia dipasarkan untuk golongan sasaran dalam negara.

"Kita memberi amaran kepada syarikat pembungkusan semula yang dilantik oleh KPDNHEP agar membuat perniagaan mengikut syarat yang diberikan oleh kerajaan, jangan berlaku ketirisan atau melakukan perkara yang tidak dibenarkan selain daripada mengeluarkan paket satu kilogram untuk golongan sasar atau mungkin mengambil keuntungan besar dengan menjualnya di luar.

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat pembungkusan semula yang gagal mematuhi syarat. Ini untuk memastikan bekalan minyak masak bersubsidi kekal ada di pasaran," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengendalian barangan Program Penyeragaman Harga di Pelabuhan Teluk Sepanggar, di sini, hari ini.

Alexander turut mengakui pihaknya menerima banyak rungutan daripada pengguna yang mengadu mengenai kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi termasuk di Sabah.

Katanya, perkara itu sedang diteliti dan tindakan jangka pendek serta jangka panjang akan diambil selepas kementerian selesai meneliti punca yang menyebabkan masalah kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran.

"Ini juga antara tujuan kita ke Sabah dan kita dapati ia memang berlaku (kekurangan bekalan). Selepas balik nanti kita akan lihat bagaimana mengatasi masalah ini, sebab ia lebih kepada pembungkusan semula untuk diedar ke pasaran.

"Untuk jangka pendek kita akan pantau perkara ini, manakala strategi lain akan dibuat untuk jangka panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 12:35 PM