ASISTEN Komisioner Mohd Zaidi Abdullah. FOTO Juwan Riduan
ASISTEN Komisioner Mohd Zaidi Abdullah. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Kontrak bernilai jutaan ringgit membabitkan projek penukaran lampu jalan LED seluruh Sabah dan projek pembersihan serta pembinaan bangunan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Itu tawaran menarik seorang lelaki yang berjaya memperdayakan enam kontraktor sehingga mengakibatkan kerugian mencecah RM710,000.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, keenam-enam mangsa itu berurusan dengan suspek untuk mendapatkan dua projek berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati suspek menawarkan projek sama iaitu penukaran lampu jalan dan pembersihan serta pembinaan bangunan di SOGIP dengan imbuhan tertentu.

"Suspek meminta kontraktor berkenaan untuk membayar sejumlah wang bagi mendapatkan surat penganugerahan tender untuk projek-projek terbabit.

"Bagi menyakinkan mangsa, suspek mendakwa mangsa akan diberikan cek sebagai pembayaran kos untuk mobilisasi bagi memulakan projek selepas diberikan surat penganugerahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mangsa bagaimanapun tidak boleh menunaikan cek berkenaan sehingga diberitahu oleh suspek.

Katanya, sepanjang tempoh menunggu, suspek pula beberapa kali meminta mangsa membuat bayaran secara berperingkat-peringkat.

"Bagaimanapun selepas enam bulan, mangsa akhirnya menyedari tertipu dan suspek pula gagal dihubungi.

"Semua mangsa terbabit membuat laporan polis di mana dua laporan diterima pada September dan November tahun lalu, manakala empat lagi diterima tahun ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, suspek berjaya ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada 31 Disember lalu.

"Suspek kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 5:09 PM