GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Putrajaya: Tuduhan tular di laman sosial bahawa kerajaan membayar RM3 bilion untuk pembelian 10 juta dos vaksin Covid-19 adalah tidak benar, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MOSTI menjelaskan, seperti diumumkan sebelum ini, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM3 bilion bagi tujuan perolehan vaksin Covid-19 dan peruntukan RM3 bilion yang disediakan itu bagi perolehan vaksin sehingga 70 peratus populasi negara atau 22.4 juta orang.

Perkara itu, menurut MOSTI sudah dijawab dan dijelaskan Menterinya, Khairy Jamaluddin, beberapa kali pada persidangan Dewan Rakyat lalu.

MOSTI dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, melalui semua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai buat masa ini, kerajaan akan membelanjakan sejumlah AS$504.4 juta iaitu kira-kira RM2.05 bilion.

Menurut MOSTI, kerajaan baharu sahaja menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal Astra Zeneca, bagi perolehan sebanyak 6.4 juta dos atau tambahan sebanyak 10 peratus lagi.

"Ini bermakna jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus yang telah diperolehi menerusi perjanjian bersama fasiliti COVAX, syarikat Pfizer dan syarikat AstraZeneca," katanya.

MOSTI berkata, kerajaan sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya, bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

"Jumlah 80 peratus ini adalah melebihi sasaran awal iaitu untuk memberikan vaksin kepada 70 peratus rakyat Malaysia," menurut kenyataan MOSTI itu.

MOSTI meminta agar orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membuat dan menyebarkan maklumat tidak sahih dan palsu, tanpa merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan kerajaan.

"MOSTI tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang kenyataan yang tidak berasas serta tidak benar yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai," menurut kenyataan itu lagi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 8:28 PM