Wong Kah Woh
Wong Kah Woh
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mencadangkan kerajaan menetapkan harga siling bagi pemvaksinan Covid-19 apabila vaksin Sinovac dijual kepada rakyat bermula Ogos ini.

Pengerusinya, Wong Kah Woh dalam kenyataan berkata, penetapan harga siling yang meliputi harga vaksin oleh Pharmaniaga dan kos dikenakan klinik atau hospital swasta, amat perlu supaya harga pemvaksinan berada pada tahap wajar serta tidak membebankan rakyat.

"Jawatankuasa mengambil maklum bahawa kerajaan akan membenarkan penjualan vaksin Covid-19 di pasaran terbuka bermula Ogos dan adalah penting supaya harga siling untuk pemvaksinan itu ditetapkan dan diumumkan kepada rakyat dengan segera.

"Jawatankuasa ini juga mengambil maklum harga untuk pemvaksinan COVID-19 sudah mula dipromosikan dan harga ditetapkan adalah tinggi berbanding yang sepatutnya," katanya.

Mengenai prosiding perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia, Wong berkata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hadir di hadapan PAC hari ini bagi kali kedua.

Prosiding yang bermula pada 10.30 pagi dan berakhir pada 1 tengah hari itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Dr Mohd Noor Azman Hassan.

Wong berkata PAC akan meneruskan prosiding berhubung isu itu esok dengan memanggil Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, manakala Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada minggu depan.

Sementara itu, MOSTI dalam kenyataan berasingan menyebut kementerian telah memberi penerangan tentang perkembangan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan butiran perbelanjaan bagi pelaksanaannya.

"MOSTI bersedia untuk memberikan penerangan berterusan kepada PAC hingga tamat pelaksanaan PICK," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 7:27 PM