MEGAT Azlani (kanan) dan Othman mememerhatikan pekerja membuat pembaikan dinding bilik rumah Othman yang rosak . FOTO Hassan Omar
MEGAT Azlani (kanan) dan Othman mememerhatikan pekerja membuat pembaikan dinding bilik rumah Othman yang rosak . FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Pejabat Pembangunan Negeri Melaka, hari ini memulakan projek baik pulih rumah pasca banjir.

Sebanyak dua rumah iaitu di Kampung Pengkalan Pauh dan Kampung Telok Berembang, Lubok Cina, dekat sini dipilih untuk dibaik pulih dengan kos masing-masing RM15,000.

Pengarah ICU Melaka, Megat Azlani Megat Ramli berkata, ia sebahagian daripada keseluruhan 24 rumah dikenal pasti akan dijalankan kerja pembaikan dengan kos sedemikian.

"Selain itu, kami sudah mengenal pasti tiga rumah mangsa banjir yang akan dibina semula dengan setiap unit bernilai RM56,000 kerana ia rosak teruk dan tidak berbaloi jika dibuat kerja pembaikan.

"Kami akan melaksanakan kerja pembaikan rumah mengalami kerosakan kecil dengan kos RM5,000, tetapi setakat ini masih dalam peringkat mengenal pasti jumlah rumah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kerja pembaikan rumah Mazila Daud di Kampung Pengkalan Pauh dan Othman Ishak di Kampung Telok Berembang.

Megat Azlani berkata, program itu adalah sebahagian daripada Bantuan Banjir Keluarga Malaysia akibat banjir besar menyebabkan kerosakan teruk pada 18 Disember lalu.

Sementara itu, Mazila, 45, berkata, dalam kejadian pada 5 pagi, 18 Disember lalu, dia dan suami, Zainudin Chambate, 46, serta tiga anak berusia 11 hingga 18 tahun segera keluar dari rumah berikutan air naik hingga dua meter.

"Keseluruhan rumah ibu atau rumah asal yang diperbuat daripada papan musnah dibawa arus deras, tetapi kami masih bernasib baik kerana dua bilik saya dan anak yang diperbuat daripada batu tidak musnah.

"Suami saya hanya bertugas sebagai pengawal keselamatan dan saya hanya pembantu am rendah, jadi kami tidak mampu membina rumah baharu atau menjalankan kerja baik pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 4:34 PM