GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor merancang pelan tindakan mesra dan lebih berkesan, dalam menangani isu 779 guru negeri ini yang menolak vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang berkata, JPN juga akan memanggil kesemua 779 guru berkenaan dalam masa terdekat.

Katanya, ia sebagai langkah kaunseling selain penerangan tentang tanggungjawab pendidik dalam memastikan risiko sekolah tidak menjadi lokasi penularan wabak.

"JPN Johor belum lagi memanggil 779 guru berkenaan, namun ia akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Ada juga (guru enggan divaksin) dinasihati oleh Pengetua serta Guru Besar.

"JPN Johor sedang merancang pelan tindakan yang mesra dan lebih berkesan dalam menyelesaikan isu ini," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim dilaporkan akan bertemu dengan Pengarah Pendidikan Johor dan kira-kira 779 guru yang menolak menerima vaksin Covid-19, bagi mencari penyelesaian isu itu.

Tunku Ismail menerusi dua ciapan di akaun Twitter baginda semalam dilaporkan bertitah, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Semalam, Mazlan ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Keempat Dun Johor yang ke-14, dilaporkan memaklumkan kira-kira 779 guru di negeri ini menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

Mazlan dilaporkan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan tentang kebaikan vaksin supaya golongan guru terbabit akan menerima vaksin.

"Kerajaan Johor akan memanggil 779 guru yang menolak vaksin itu secara individu bagi diberi penerangan dan kaunseling supaya mereka faham kepentingannya apatah lagi sesi persekolahan dijangka dibuka Oktober nanti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 3:44 PM