Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Lelaki dikenali sebagai Raja Bomoh membuat laporan polis menafikan upacara dilakukannya bertentangan dengan akidah dan syariat Islam, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan itu dibuat pada 12.30 tengah malam tadi di Balai Polis Teluk Intan.

Menurutnya, individu terbabit mendakwa upacara itu tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

"(Sebaliknya mendakwa ia) hanya mendoakan keselamatan semua penduduk supaya tidak berlaku banjir.

"Laporan ini juga dirujuk kepada pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk siasatan pihak berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, susulan tularnya video ritual berkenaan, Ketua Polis Balai Teluk Intan sudah membuat laporan polis pada 4.30 petang, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, upacara itu dilakukan di tepi Sungai Perak berhampiran sebuah kuil di Dataran Sungai Perak, Teluk Intan.

"Laporan berkenaan juga sudah dirujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, video tular berdurasi 25.09 minit itu memaparkan seorang pengamal perubatan tradisional bersama wanita melakukan ritual bagi menolak berlakunya banjir yang didakwa sebagai petua zaman dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 5:08 PM