GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Selangor mengesan terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran sehingga RM200 untuk menguruskan setiap borang permohonan pakej Bantuan Selangor Bangkit.

Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat Menteri Besar Selangor, Dr Gunaraj George berkata tindakan itu sangat menyedihkan berikutan rakyat kini dalam kesempitan selepas banjir melanda negeri ini pada Disember lalu.

Katanya, sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu itu dikesan aktif di sekitar daerah Klang dan mensasarkan golongan warga emas dan ibu tunggal.

"Setiap Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) di Selangor berkerja keras membantu masyarakat yang terjejas menguruskan permohonan bantuan bencana banjir secara percuma.

"Satu laporan polis sudah dibuat berkaitan perkara ini bagi mencegah sindiket yang bergerak dan mengambil kesempatan terhadap rakyat.

"Susulan itu, saya menyeru supaya semua warga Selangor untuk berhati-hati dengan tipu helah sesetengah pihak yang kononnya ingin membantu namun mempunyai tipu muslihat di sebaliknya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rakyat Selangor yang terkesan perlu berhubung terus dengan Pejabat Adun dan Pejabat Tanah dan Daerah masing-masing bagi mendapatkan sebarang bantuan dan sokongan.

Sebelum ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta untuk ikhtiar Selangor Bangkit susulan banjir teruk yang melanda Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu termasuk bantuan RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat banjir; RM1,000 setiap keluarga yang terkesan bencana banjir; bantuan pembersihan kawasan perumahan serta pemulihan infrastruktur yang mengalami kerosakan serta bantuan kesihatan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:47 PM