GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Zatul Iffah Zolkiply

Dungun: Jumlah mangsa banjir di Terengganu berkurangan kepada 165 berbanding 451 orang pagi tadi.

Setakat jam 4 petang tadi, kesemua mangsa daripada 49 keluarga itu ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Dungun dan Kemaman.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, pengurangan jumlah mangsa itu susulan kebanyakan mangsa di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor di Dungun dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat.

Ketika ini, seramai 68 mangsa daripada 20 keluarga masih ditempatkan di PPS berkenaan berbanding seramai 225 mangsa daripada 60 keluarga pagi tadi.

Jumlah mangsa di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja turut berkurangan kepada 69 mangsa (22 keluarga) berbanding 165 mangsa (55 keluarga) pagi tadi.

Satu lagi PPS di Dungun iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Minda pula masih menempatkan 18 mangsa daripada lima keluarga.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di daerah Kemaman turut menunjukkan penurunan apabila hanya dua keluarga membabitkan 10 mangsa masih berada di PPS Surau Kampung Ban Ho, Kemaman.

Sebelum ini, seramai 43 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS berkenaan.

Keadaan cuaca semasa ketika ini adalah hujan renyai di beberapa tempat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 6:02 PM