Mohd Roji Kawi


Kuching: Pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kembali mengisi kerusi Timbalan Ketua Menteri Sarawak apabila Presidennya, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dilantik memegang jawatan itu, hari ini.

Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengumumkan senarai ahli kabinet Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini yang menyaksikan dua lagi jawatan Timbalan Ketua Menteri kekal disandang Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Kali terakhir pemimpin SUPP memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri ialah pada 2006 hingga 2011 menerusi Presidennya ketika itu, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Dr Sim, 57, adalah anak kepada mendiang Tan Sri Sim Kheng Hong yang pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri pada 1974 hingga 1991.

ABANG Johari (tengah) ketika mengumumkan senarai kabinet Sarawak, hari ini. FOTO Nadim Bokhari.
ABANG Johari (tengah) ketika mengumumkan senarai kabinet Sarawak, hari ini. FOTO Nadim Bokhari.

Dalam senarai penuh kabinet baharu Sarawak selepas Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), seramai 10 Menteri dilantik untuk mengetuai 15 kementerian dengan Abang Johari sendiri memegang tiga portfolio iaitu Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar serta Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar.

Uggah pula memegang dua portfolio sebagai Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II serta Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan manakala, Awang Tengah turut memegang dua portfolio iaitu Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan dan Dr Sim mengetuai Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Datuk John Sikie Tayai dilantik sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom sebagai Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah dan Datuk Seri Lim Kim Shin pula kekal sebagai Menteri Pengangkutan.

Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi pula diketuai Datuk Julaihi Narawimanakala Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memegang dua portfolio iaitu Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.

Datuk Seri Fatimah Abdullah dilantik sebagai Menteri Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, sementara Datuk Roland Sagah Wee Inn sebagai Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat.

Abang Johari berkata, prestasi dan keberkesanan ahli kabinet itu akan dinilai dan dianalisis menjelang suku pertama 2022.

"Pendekatan ini akan memberikan prognosis dari mana tindakan dan langkah yang diperlukan dibangunkan untuk tahun-tahun akan datang untuk meningkatkan hasil perkhidmatan yang berkesan," katanya.

Dalam senarai kabinet berkenaan, seramai 26 Menteri Muda dilantik termasuk bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya yang dilantik Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman).

Empat lagi Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri ialah Datuk Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Gerawat Gala (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Abdullah Saidol (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) serta Jefferson Jamit Unyat (Undang-undang dan Adat Bumiputera).

Datuk Malcom Mussen Lamoh sebagai Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Dr Penguang Manggil dan Michael Tiang Ming Tee sebagai Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Datuk Len Talif Salleh sebagai Menteri Muda Sumber Asli dan Pembangunan Bandar.

Datuk Dr Jerip Susil dan Datuk Henry Harry Jinep pula dilantik sebagai Menteri Muda Pengangkutan; Datuk Liwan Lagang dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi sebagai Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi;

Aidel Lariwoo dan Datuk Majang Renggi sebagai Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan; Dr Hazland Hipni sebagai Menteri Muda Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar; Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Snowdan Lawan, Datuk Gerald Rentap Jabudan Dr. Ripin Lamat sebagai Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 5:55 PM