BARISAN Kabinet Baharu Kerajaan Negeri Sarawak pada Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan di Dewan Lapau Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.
BARISAN Kabinet Baharu Kerajaan Negeri Sarawak pada Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan di Dewan Lapau Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Petra Jaya: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menyifatkan barisan menteri yang dilantik dalam Kabinet negeri yang baru adalah satu pasukan kuat yang boleh bekerja untuk rakyat Sarawak.

Beliau berkata, senarai menteri yang dilantik adalah mereka yang berkebolehan dan terbukti boleh bekerja.

“Dalam barisan menteri penuh ini, semuanya sudah berpengalaman dengan ada yang memegang jawatan menteri beberapa penggal.

“Barisan Kabinet negeri ini mengikut ratio kaum, bukan parti seperti didakwa segelintir individu yang mengatakan Kabinet negeri hanya dimonopoli wakil rakyat dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Ada menteri daripada kaum Cina, Melayu, Melanau, Iban, Bidayuh dan beberapa kaum lagi akan dilantik dalam barisan menteri muda yang bakal diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media khas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, semalam.

Dalam senarai Kabinet negeri itu, Adenan yang mengetuai kemenangan besar Barisan Nasional (BN) Sarawak apabila memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11, Sabtu lalu mengumumkan pelantikan tiga Timbalan Ketua Menteri.

Seperti dijangka, seorang daripada mereka adalah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang pada PRN lalu memenangi kerusi DUN Bukit Saban. Berikutan itu, Uggah dijangka meletak jawatan sebagai menteri Kabinet Persekutuan. Beliau dilantik Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Sarawak.

Dua lagi menteri kanan Kabinet negeri yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Menteri ialah Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.

Pelantikan Masing dipercayai berikutan prestasi cemerlang parti yang diketuainya apabila berjaya mencatatkan kemenangan 100 peratus daripada 11 kerusi yang ditandingi parti itu pada PRN, Sabtu lalu.

Seperti dijanjikan Adenan ketika kempen PRN yang lalu, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian sah dilantik seorang daripada menteri penuh Kabinet beliau apabila berjaya memenangi kerusi DUN Batu Kawah daripada DAP selain prestasi baik parti pimpinannya.

Menteri penuh tunggal yang tidak disenaraikan dalam Kabinet baru Adenan ialah bekas Presiden Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Tan Sri William Mawan Ikom walaupun beliau memenangi kerusi DUN Pakan dengan majoriti kecil. Pelbagai spekulasi menyelubungi nasib Mawan yang juga Ahli Parlimen Saratok apabila digugurkan.

Ada yang mengatakan beliau mungkin dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang dikosongkan Uggah manakala ada juga disebabkan prestasi kurang memberangsangkan beliau pada PRN, Sabtu lalu.

Adenan ketika diminta mengulas pelantikan tiga Timbalan Ketua Menteri di bawah pentadbirannya kali ini berkata, ia bukan satu perkara luar biasa kerana pernah berlaku dalam sejarah Kabinet negeri sebelum ini.

“Sebelum ini, kita hanya ada 71 DUN dan kini bertambah 11 kawasan menjadikannya 82 DUN. Penambahan kawasan yang lebih banyak memerlukan pengawasan dan pelantikan ini adalah wajar dan penting,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ADUN yang memenangi PRN lalu supaya mula bekerja dan menunaikan janji yang dibuat ketika berkempen.

“Masa untuk berehat sudah tamat dan kini perlu bekerja keras demi rakyat yang memilih kita sebagai wakil mereka.

“Sasaran saya ialah menunaikan semua janji yang dibuat kepada rakyat,” katanya.

Menteri muda tunggal yang dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh kali ini ialah Setiausaha BN Sarawak yang juga ADUN Kemena Datuk Dr Stephen Rundi Utom yang dilantik memegang jawatan Menteri Kemudahan Awam. Sebelum ini, beliau adalah Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi).

Bekas Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Datuk Seri Wong Soon Koh mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Kewangan Kedua bersama Datuk Fatimah Abdullah yang kekal sebagai Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak.

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memegang portfolio baru sebagai Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan selain kekal sebagai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak.

Datuk Seri Micheal Manyin Jawong pula bertukar portfolio apabila dilantik sebagai Menteri Belia, Sukan dan Solidariti.

Sebelum itu, semua menteri Kabinet negeri menghadiri upacara angkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di DUN Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:15 AM