Penghuni Pangsapuri Teratai, Bandar Baru Selayang, Norliza A Rahim, bersama tiga anaknya terpaksa berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Siantan, Bandar Baru Selayang selepas  berlaku tanah runtuh. Foto Muhaamad Hafis Nawawi
Penghuni Pangsapuri Teratai, Bandar Baru Selayang, Norliza A Rahim, bersama tiga anaknya terpaksa berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Siantan, Bandar Baru Selayang selepas berlaku tanah runtuh. Foto Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: "Hari ini anak perempuan saya terpaksa menjawab peperiksaan secara dalam talian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Siantan selepas kami diarahkan berpindah semalam akibat tanah runtuh," kata penghuni Pangsapuri Teratai, Bandar Baru Selayang, Norliza A Rahim.

Dia yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Satu Selayang Baru berkata, anak perempuannya, Nur Ain Hazirah Kamarul Hazeri, 20, yang menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terpaksa menjawab soalan peperiksaan di PPS manakala anak sulung, Muhammad Asyraf Naqiyuddin, 22, yang menuntut di universiti sama sepatutnya menjawab peperiksaan pada hari ini, namun terpaksa menundanya.

Menurutnya, tanah runtuh itu berlaku pada 18 Disember lalu, namun ketika kejadian hanya anak sulung dan anak keduanya sahaja berada di rumah sementara dia dan suami serta anak bongsu berusia 16 tahun pulang ke kampung di Pahang.

"Anak menghubungi saya memaklumkan pada hari kejadian hujan terlalu lebat sebelum ketua blok di pangsapuri itu memaklumkan ada bunyi runtuhan kuat.

"Bimbang dengan keselamatan anak, saya meminta bantuan rakan dan mujur ada sebuah inap desa berhampiran yang kebetulan kosong sebelum dua anak saya bermalam selama tiga hari di sana," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Sri Siantan, di sini, hari ini.

Norliza berkata, dia membeli rumah itu sejak 2007 dan ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku.

Menurutnya, buat masa ini, mereka terpaksa tinggal di PPS itu kerana difahamkan kerosakan perlu dibaiki itu mengambil masa sekitar dua bulan.

"Ada penduduk menyewa sementara di tempat lain dan ada tinggal di sini dan saya buat masa ini tidak terfikir untuk mencari tempat lain kerana akan membabitkan kos lain," katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Pangsapuri Teratai, Nazarudin Mohd Isa berkata, ketika kejadian pada 9 malam itu, dia yang berada di rumah terdengar dentuman kuat dan menyangka ada kereta berlanggar.

Menurutnya, apabila menjenguk ke luar, keadaan agak gelap dan tidak dapat melihat dengan jelas sebelum hanya menyedari kejadian tanah runtuh pada keesokan paginya.

"Akibat keadaan tidak selamat untuk tinggal, kami diarahkan berpindah bermula semalam untuk memudahkan kerja membaiki kawasan tanah runtuh itu dapat disegerakan.

"Pangsapuri itu mempunyai 48 unit dan penduduk diarahkan berpindah dan difahamkan kos untuk membaik pulih sekitar RM1.4 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 5:15 PM