GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengesan penipuan baharu menawarkan perkhidmatan pembersihan palsu menyebabkan mangsa kerugian RM77,888.40, setakat ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, melalui siasatan, sindiket menggunakan beberapa nama syarikat berbeza akan mengiklankan perkhidmatan pembersihan rumah, pejabat dan seumpamanya melalui laman sosial.

Beliau berkata, mangsa yang berminat kemudiannya akan diminta untuk berhubung dengan mereka melalui aplikasi WhatApps.

"Setelah setuju dengan harga ditetapkan, mangsa diminta membuat pembayaran melalui pautan dihantar sindiket dan pautan itu akan membawa mangsa kepada laman sesawang kelihatan sama dengan laman web perbankan atas talian biasa digunakan mangsa.

"Mangsa kemudiannya cuba membuat pembayaran melalui laman sesawang itu, namun gagal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila mendapati wang dari akaun bank berkurangan.

Beliau berkata, siasatan mendapati, laman sesawang palsu diakses mangsa akan menyimpan semua data perbankan dimasukkan.

"Data itu kemudiannya akan digunakan untuk mengakses akaun mangsa dan membuat pemindahan wang tanpa pengetahuan mangsa.

"Sehingga kini, 10 laporan polis diterima berkaitan kes sebegini membabitkan kerugian RM77,888.40 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Polis menggesa orang ramai yang mungkin menjadi mangsa kepada sindiket penipuan ini untuk segera tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 4:28 PM