DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein merakamkan penghargaan kepada kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas menyalurkan bantuan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan warga Kementerian Pertahanan yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata, komitmen UAE menghulurkan bantuan itu menunjukkan hubungan baik dua hala antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, Kementerian Pertahanan dan ATM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan UAE kerana sentiasa bersama-sama Malaysia ketika negara ini ditimpa musibah.

"Ia bukan sahaja membuktikan keprihatinan kerajaan UAE tetapi juga menyerlahkan keakraban hubungan dua hala antara kedua-dua negara sejak sekian lama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja dan tinjauan di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 gd).

Bantuan yang disumbangkan UAE berkenaan akan diagihkan kepada 775 keluarga membabitkan lebih 3,000 mangsa membabitkan anggota, veteren ATM dan warga Kementerian Pertahanan di seluruh negara.

Antara barangan yang disumbangkan kepada mangsa terjejas akibat banjir itu termasuk 2,000 helai sejadah, 4,000 helai cadar, 4,000 helai tuala dan 2,000 tilam.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, kementeriannya berjaya mengumpul sumbangan banjir sebanyak RM3.7juta merangkumi wang tunai dan barang keperluan asas.

Katanya, ia adalah sumbangan menerusi gabungan lima syarikat swasta termasuk syarikat industri pertahanan.

"Sumbangan yang diterima ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meringankan beban bukan sahaja anggota dan warga awam Kementerian Pertahanan, tetapi saya sendiri secara peribadi mahu fokus turut diberikan bagi membantu veteran ATM yang terkesan akibat banjir di beberapa negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 3:57 PM