Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Menyembunyikan dadah dipercayai syabu dalam tayar basikal sebelum dihantar kepada pembeli menggunakan syarikat kurier menjadi taktik terbaru sindiket penyeludupan dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun taktik itu berjaya dipatahkan Unit Narkotik, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang apabila menemui 10 kotak parcel ketika mengadakan pemeriksaan di sebuah syarikat kurier di Pusat Perniagaan Raja Uda, di sini, pada 6 petang, 22 Disember lalu.

Pengarah Kastam negeri, Abdul Halim Ramli berkata, pemeriksaan terhadap salah satu kotak parcel mendapati set rangka basikal kanak-kanak, tayar bersama rim.

"Pemeriksaan lanjut mendapati di dalam tayar basikal itu tersorok bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi hablur kristal disyaki methamphetamine.

"Pasukan kemudiannya membuat rampasan semua 10 kotak parcel dan dibawa ke Pejabat Unit Narkotik di Kampung Kastam, Bagan Jermal untuk pemeriksaan menyeluruh.

"Hasil pemeriksaan pasukan menjumpai 104 bungkusan plastik lut sinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah dalam tayar basikal di 10 kotak berlainan seberat lebih 18 kilogram (kg) dengan anggaran nilai lebih RM1.8 juta," katanya pada sidang media di Kompleks Pencegah Negeri, Perai, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dokumen yang terdapat pada semua bungkusan itu mendapati alamat pengirim adalah di Pulau Pinang yang mana barangan itu dihantar ke sebuah negara di Oceania.

ABDUL Halim menunjukkan rampasan dadah yang disembunyikan dalam tayar basikal di Kompleks Pencegah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, Perai di sini. FOTO Danial Saad
ABDUL Halim menunjukkan rampasan dadah yang disembunyikan dalam tayar basikal di Kompleks Pencegah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, Perai di sini. FOTO Danial Saad

"Setakat ini, kita tidak dapat mendedahkan identiti pengirim dan sedang menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut.

"Kesalahan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa kepada hukuman gantung mandatori jika disabitkan kesalahan," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

"Penyeludupan mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Orang awam yang mengetahui sebarang aktiviti berkaitan penyeludupan boleh menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat yang mana JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 1:38 PM