GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Serba Dinamik Holdings Berhad, pengarah dan dua pegawai kanannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu itu; Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Datuk Syed Nazim Syed Faisal, 41; Pengawal Kewangan Kumpulan Azhan Azmi, 39; dan Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan Muhammad Hafiz Othman, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

Serba Dinamik selaku Orang Kena Saman (OKS) dan Syed Nazim, Azhan serta Muhammad Hafiz selaku tertuduh didakwa dengan niat untuk menipu, dengan mengemukakan pernyataan palsu yang terkandung di dalam "Serba Dinamik Holdings Berhad's Quarterly Report on the Consolidated Results for the Quarter and Year Ended 31 December 2020."

Kesalahan itu dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad di Bukit Kewangan, di sini pada 26 Februari lalu.

Mereka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 369(a)(B) dibaca bersama seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dan boleh dihukum di bawah seksyen 369 Akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM3 juta jika disabitkan kesalahan.

Serba Dinamik diwakili oleh Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, Abu Bakar Uzair dan semua tertuduh diwakili peguam L K Mak.

Di mahkamah berasingan, Hakim Datin Sabariah Othman Hakim memerintahkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing dijamin sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mereka juga diperintahkan untuk melapor diri kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Hashley Tajudin dan Zulaida Zulkifli

Kedua-dua mahkamah menetapkan pada 27 Januari depan bagi pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 2:33 PM