PENDUDUK Kampung Terusan kembali ke rumah masing-masing setelah keadaan banjir semakin pulih hari ini. FOTO Bernama
PENDUDUK Kampung Terusan kembali ke rumah masing-masing setelah keadaan banjir semakin pulih hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penduduk di beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu yang sering dilanda banjir pada setiap tahun, kini mula bersiap sedia dengan mengemas barangan di rumah masing-masing berikutan amaran terbaharu kemungkinan berlaku gelombang kedua dan ketiga banjir di kedua-dua negeri itu.

Di RANTAU PANJANG, KELANTAN, biarpun belum hilang penat selepas mengalami banjir gelombang pertama baru-baru ini, tinjauan di beberapa kawasan daerah ini seperti di Kampung Bukit Lata, Kampung Lachang, Kampung Terusan, Kampung Lubok Gong dan Kampung Siram mendapati penduduk tetap cakna dengan amaran terbaharu itu.

Seorang penduduk Kampung Terusan, Mustapa Junoh, 60, berkata, dia bersama penduduk lain perlu lebih bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir memandangkan kawasan kampung itu masih digenangi air akibat banjir yang dialami baru-baru ini.

"Penduduk sudah menyediakan sampan sebagai pengangkutan sekiranya banjir berlaku lagi. Kenderaan juga sudah diletakkan di kawasan lebih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi gelombang kedua banjir nanti," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Semalam Bernama melaporkan model ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu bermula 30 hingga 31 Disember ini.

JPS dalam kenyataan memaklumkan kemungkinan itu dikeluarkan susulan Ramalan Cuaca Signifikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi tarikh 25 Disember hingga akhir tahun ini.

Seorang penduduk Kampung Siram, Kamal Mat Yatim, 51, berkata, berdasarkan pengalamannya banjir gelombang kedua atau tiga adalah lebih teruk.

Bagi Zawiah Mohd Zain, 60, dari Kampung Lubok Gong, katanya dia perlu lebih berwaspada kerana kampung itu hanya terletak kira-kira 50 meter dari Sungai Golok.

Di KUALA NERUS, TERENGGANU, lebih 1,000 penduduk di enam kampung yang berisiko dilanda banjir gelombang berikutnya telah dinasihatkan agar membuat persiapan awal.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, enam kampung itu semuanya terletak di pedalaman daerah Dungun iaitu Kampung Pasir Raja, Kampung Syukur, Kampung Jongok Batu, Kampung Minda, Kampung Jerangau dan Kampung Kuala Jengai.

"Paling penting selamatkan harta benda dan barangan berharga. Keselamatan anak-anak juga perlu diberi perhatian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Sekretariat telah bersedia dengan gelombang banjir kali ini yang melibatkan 252 pegawai dan 2,509 anggota dari enam agensi," katanya kepada pemberita pada program derma darah di sini hari ini.

Enam agensi itu ialah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah aset di Terengganu ketika ini ialah 120 kenderaan pacuan empat roda, lori (61), bas (tiga), van (49), ambulans (22), bot (156), enjin bot (166), jaket keselamatan (1,893), khemah (84) dan set generator (129).

Katanya, tumpuan diberikan untuk enam kampung di pedalaman Dungun itu, namun masih ada pasukan keselamatan yang bersiap siaga di tujuh daerah lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 5:05 PM