ANGGOTA bomba menyelamatkan lima individu termasuk seorang kanak-kanak dan wanita yang terperangkap dalam banjir di Jambatan Kuala Kali, hari ini.  FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba menyelamatkan lima individu termasuk seorang kanak-kanak dan wanita yang terperangkap dalam banjir di Jambatan Kuala Kali, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Lima termasuk seorang kanak-kanak dan wanita berdepan detik mencemaskan apabila terperangkap dalam banjir di Jambatan Kuala Kali, dekat sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.53 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 10 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikerahkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, didapati berlaku banjir dan semua mangsa terperangkap tidak dapat keluar ke tempat yang selamat.

"Anggota kemudian membuat penyelamatan pertama dengan mengeluarkan empat mangsa iaitu dua lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak.

"Mereka kemudian dibawa ke tempat selamat," katanya ketika dihubungi, di sini.

Norazam berkata, semua mangsa kemudian diserahkan kepada majikan untuk dibawa ke pusat penempatan sementara Kampung Chuang, Rasa.

Bagi operasi penyelamatan kedua pula, beliau berkata, bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki dengan menggunakan bot.

"Semua mangsa berusia antara setahun hingga 40 tahun," katanya yang menambah operasi tamat pada 2.19 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 8:45 PM