DATUK Seri Mahdzir Khalid beramah mesra bersama penduduk masyarakat Siam di Kompleks Komuniti Padang Kerasak di Naka hari ini. FOTO Bernama
DATUK Seri Mahdzir Khalid beramah mesra bersama penduduk masyarakat Siam di Kompleks Komuniti Padang Kerasak di Naka hari ini. FOTO Bernama
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menggerakkan sukarelawan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi membantu mangsa banjir di negeri terjejas akibat bencana itu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pasukan sukarelawan itu akan digerakkan secepat mungkin selepas jumlah sukarelawan dikenal pasti.

"Saya sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin mengenainya kerana Kemas adalah agensi mempunyai ramai kakitangan di lapangan yang dapat menghulurkan bantuan segera.

"Mereka boleh membantu anggota penyelamat dari segi kerja menyelamat serta menyampaikan bantuan makanan. Bagaimanapun kita akan mengikut apa dipersetujui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jalinan Rakyat (JR) Wanita Umno Bahagian Padang Terap, di Pusat Khidmat Komuniti Padang Kerasak, Naka, di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, setakat ini pihaknya belum menerima maklumat jumlah keseluruhan anggota sukarelawan terbabit dalam misi bantuan berkenaan.

Beliau berkata, misi bantuan itu tidak membabitkan kakitangan Kemas dari negeri lain dan hanya mengambil kakitangan dalam negeri terbabit sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 7:57 PM