Siti Rohana Idris


Jeli: Penugasan di sempadan Kelantan-Thailand turut diperketatkan dalam usaha mengekang seorang lelaki dikenali sebagai 'Long Tiger' lolos ke negara jiran.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, beliau sudah mengarahkan anggotanya agar peka dengan sebarang bentuk pergerakan yang membabitkan sempadan.

Beliau berkata, tidak mustahil lelaki yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor, Rabu lalu itu akan cuba melarikan diri ke negara jiran.

"Kita perketatkan kawalan dan sudah arahkan anggota fokus kawasan sempadan dengan membuat pemeriksaan lebih menyeluruh di semua sekatan.

"Setakat ini kita belum menerima apa-apa maklumat mengenai keberadaan lelaki itu di negeri ini namun tetap pergiatkan kawalan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli sempena lawatan rasmi dengan diiringi Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Ariffin.

Dalam lawatan yang turut disertai isterinya, Datin Zairihan Che Haron, beliau juga merasmikan Rumah Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di IPD terbabit.

Dalam ucapannya, Shafien mengingatkan pegawai serta anggotanya termasuk pasangan masing-masing agar tidak menyalahgunakan media sosial yang boleh menjatuhkan imej kepolisan.

Katanya, sifat menunjuk-nunjuk atau menayangkan gaya hidup mewah dalam media sosial juga perlu dielakkan terutama bagi anggota berpangkat rendah yang umum mengetahui ia tidak selari dengan pendapatan.

"Jangan berlumba untuk menunjuk kemewahan sedangkan orang luar (umum) tahu gaji dan pendapatan kita dan ia perlu selari dengan gaya hidup.

"Begitu juga jika berlaku perselisihan faham sesama sendiri dan perasaan tidak puas hati yang rata-ratanya meluahkan di dalam media sosial.

"Sudah banyak perkara sebegini berlaku dan ia masih lagi berlaku yang mana ia memberikan imej yang tidak elok kepada PDRM," katanya.

SHAFIEN menurunkan tandatangan sempena merasmikan Rumah PERKEP IPD Jeli di sini. FOTO Siti Rohana Idris
SHAFIEN menurunkan tandatangan sempena merasmikan Rumah PERKEP IPD Jeli di sini. FOTO Siti Rohana Idris

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 4:41 PM