MANGSA yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Elite malam tadi. FOTO ihsan bomba
MANGSA yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Elite malam tadi. FOTO ihsan bomba
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perintah menggantung atau membatalkan lesen pengendali syarikat treler terbabit kemalangan di Lebuhraya Elite yang mengorbankan 10 nyawa malam tadi, akan dikeluarkan sekiranya didapati melanggar keperluan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang gagal mematuhi ICOP serta melanggar syarat lesen pengendali dan perintah itu akan dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selepas selesai siasatan oleh pihak berkuasa.

"Semua pihak berkuasa berkaitan di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang menyiasat kejadian itu secara terperinci untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan kemalangan tragis itu berlaku.

"Laporan daripada penyiasatan ini nanti termasuk laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) JPJ akan diserahkan secepat mungkin kepada APAD untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pelanggaran syarat itu mampu mewujudkan risiko keselamatan kepada pemandu lain termasuk pejalan kaki dan orang awam, secara amnya.

"MOT amat berduka cita dengan kejadian tersebut apabila sebuah lori treler merempuh tiga buah kereta yang berhenti di lorong kecemasan sehingga meragut 10 nyawa termasuk seorang ibu dan lapan orang anaknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 7:35 PM