GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nuraliawati Sabri


Melaka: Padah melakukan amang seksual ke atas remaja lelaki, seorang pekerja hotel dipenjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, tadi.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Malek Saifullizan Md Husin, 35, selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh, kira-kira jam 5.30 petang di sebuah hotel di Taman Melaka Raya pada 9 Disember 2021.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan mempunyai tanggungan ibu dan kakak yang sakit.

Bagaimanapun, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahida Mohamad memohon supaya hukuman berat dijatuhkan kerana perbuatan itu adalah kesalahan serius selain meninggalkan trauma ke atas mangsa.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh tahun dan perlu menjalani pengawasan selama dua tahun sejurus tamat hukuman penjara.

Difahamkan, mangsa dikatakan mendaftar masuk ke hotel berkenaan bersama ahli keluarganya sebelum tertuduh dikatakan mengajak mangsa ke bilik stor untuk mengambil bantal tambahan.

Semasa berada di dalam bilik stor tertuduh dikatakan menyuruh mangsa berbaring di atas katil untuk melakukan fisioterapi sebelum bertindak membuka seluar remaja lelaki berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:45 PM