GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Perincian mengenai permohonan Program i-Sinar bagi pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diumumkan minggu depan.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, perincian terbabit merangkumi kriteria kelayakan ahli yang pendapatannya terkesan termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan mahupun mengalami pengurangan gaji.

"KWSP menjangkakan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon bermula pertengahan Disember 2020 dengan pembayaran pertama sebulan selepas permohonan diluluskan," katanya.

i-Sinar adalah kemudahan tambahan kepada program bantuan kerajaan dan inisiatif lain yang diperkenalkan KWSP ketika pandemik Covid-19 seperti pengurangan kadar berkanun syer pekerja, pengeluaran i-Lestari, dan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP).

Kerajaan hari ini mengumumkan program berkenaan akan diperluaskan kepada semua pencarum yang terjejas berbanding hanya dua juta sebelum ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sesi ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat dasar di Dewan Rakyat, mengumumkan seramai lapan juta pencarum layak mengeluarkan wang mereka dalam Akaun 1.

Had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 membabitkan peruntukan RM70 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 7:06 PM