KALESWARY dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, hari ini atas pertuduhan mengakibatkan kematian anak lelakinya. FOTO Mary Victoria Dass
KALESWARY dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, hari ini atas pertuduhan mengakibatkan kematian anak lelakinya. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang wanita didakwa mengakibatkan kematian anak lelakinya berusia lima tahun di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, R Kaleswary, 35, yang juga bekas pekerja pembersihan didakwa melakukan perbuatan berkenaan antara 9 pagi hingga 12.20 tengah hari pada 3 Disember lalu di rumah kedai di Taman Tan Sri Yaakub di Iskandar Puteri di sini.

Dia didakwa dengan sengaja mengakibatkan kematian ke atas Samsoon Paul berusia lima tahun.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.

Tertuduh yang memakai baju-T berwarna hijau dan berseluar pendek mengangguk memahami pertuduhan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Nurmadiana menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.

Tertuduh tidak dibenar untuk diikat jamin.

Terdahulu, Kaleswary bersama teman lelakinya, Muhammad Iskandar Abdullah, 32, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini atas pertuduhan menganiaya Samsoon Paul hingga mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak berkenaan.

Mereka didakwa bersama-sama di antara April hingga 3 Disember 2021 kira-kira 12.20 tengah hari bertempat di sebuah rumah kedai menganiaya kanak-kanak terbabit hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Mereka didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) Akta yang sama dan dibaca mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan boleh didenda melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kaleswary mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan manakala Muhammad Iskandar yang bekerja sebagai penghantar gas memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Fatimah Zahari.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya M Raveena dan Chai Ing Hien manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili oleh peguam bela.

Kaleswary tidak dijatuhi hukuman berikutan mahkamah masih belum memperolehi laporan bedah siasat selain tidak dibenarkan diikat jamin berikutan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Manakala Muhammad Iskandar dibenarkan diikat jamin RM14,000 dan seorang penjamin serta diperintahkan supaya lapor diri di balai polis pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Terdahulu, Muhammad Iskandar memohon untuk diikat jamin kerana masih menanggung dua anak berusia lapan bulan dan dua tahun.

Hakim menetapkan 27 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 4 Disember lalu media melaporkan seorang kanak-kanak meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan kecederaan di mulut serta lebam di seluruh anggota badan.

Mangsa dibawa oleh ibu kandungnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 1:33 PM