Keadaan pemandu lori yang meninggal dunia di dalam kenderaannya di tengah jalan Tali Air 3, Sungai Burong, pagi hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Keadaan pemandu lori yang meninggal dunia di dalam kenderaannya di tengah jalan Tali Air 3, Sungai Burong, pagi hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: "Saya nyaris melanggar lori yang berhenti di tengah jalan itu. Namun apabila diperiksa, saya dapati pemandu lori itu terbaring tidak sedarkan diri," ujar seorang pemandu treler yang mahu dikenali sebagai Wan, 30-an.

Dalam kejadian jam 8 pagi tadi, dia terkejut apabila pemandu lori yang ditemui di jalan Tali Air 3, Sungai Burong di sini, disahkan meninggal dunia mengejut.

Wan berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan menghantar muatan kayu lapis dari Pulau Pinang ke Pelabuhan Klang.

Katanya, dia hampir melanggar lori dipandu mangsa sebelum mengambil keputusan berhenti untuk melihat keadaan pemandunya.

"Saya panggil lelaki itu (pemandu lori) tetapi tidak bersahut. Bimbang dengan keadaan itu, saya segera menghubungi polis.

"Saya juga mengawal lalu lintas di kawasan itu sebelum anggota polis tiba," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menerima laporan kejadian itu menerusi talian kecemasan 999 pada 9.20 pagi tadi.

"Pengadu memaklumkan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an ditemui tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 5:46 PM