Dadah yang dirampas polis selepas berjaya menggagalkan cubaan mengedar menggunakan perkhidmatan kurier. FOTO IHSAN POLIS
Dadah yang dirampas polis selepas berjaya menggagalkan cubaan mengedar menggunakan perkhidmatan kurier. FOTO IHSAN POLIS
Zaid Salim


Marang: Helah seorang tokan dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar bahan terlarang itu gagal apabila bungkusan yang dikirim jatuh ke tangan polis, Khamis lalu.

Bungkusan mengandungi dadah dianggarkan bernilai lebih RM23,000 itu dirampas selepas kakitangan perkhidmatan kurier yang mengesyaki sesuatu mencurigakan menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya menerima aduan daripada syarikat kurier berkenaan di Bukit Payong yang mengesyaki tiga bungkusan yang diterima mengandungi mencurigakan itu pada jam 11 pagi.

Berikutan itu, anggota polis diarahkan ke lokasi untuk memeriksa dan merampas ketiga-tiga bungkusan berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati bungkusan pertama mengandungi pil yaba seberat 60.43 gram dan syabu seberat 101.61 gram, manakala bungkusan kedua mengandungi erimin 5 seberat 26.62 gram dan 25.54 gram syabu.

"Bungkusan ketiga mengandungi erimin 5 seberat 26.45 gram dan pil yaba seberat 19.52 gram," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan rampasan bahan khayal berkenaan, pihaknya berjaya mengesan alamat pengirim di Kampung Gemuroh, Bukit Payong di sini.

Berdasarkan alamat itu, katanya, pihaknya melakukan serbuan sebelum berjaya melakukan tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun pada hari sama.

Mohd Zain berkata, pemeriksaan terhadap tubuh suspek, polis menemui dadah yang disembunyikan dalam poket seluar yang dipakai suspek.

"Pemeriksaan turut menemukan tiga resit 'tracking' daripada syarikat kurier berkenaan dan kad pengenalan milik suspek.

"Ujian saringan awal juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphatemine," katanya polis turut menyita sebuah kereta Honda City.

Katanya, suspek yang memiliki 14 rekod lampau berkaitan dadah ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

#kw tokan, dadah, kurier, pil, juda, syabu, Marang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 6:30 PM