JENTOLAK yang terbbait dalam kejadian. FOTO ihsan polis.
JENTOLAK yang terbbait dalam kejadian. FOTO ihsan polis.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang tukang rumah maut selepas dilanggar jentolak dalam kejadian di pusat perniagaan di Kilometer 29 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, di sini, pada 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 45 tahun dikenali sebagai Mursidi itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada bahagian kepala.

Beliau berkata, kemalangan berlaku ketika pemandu jentolak berusia 66 tahun sedang melakukan kerja di dalam premis premis berkenaan.

"Ketika proses pemindahan barangan dilakukan, pemandu mengundurkan jentolak dan dipercayai tidak mengetahui mangsa berada di belakang sebelah kanannya.

"Pemandu jentolak sebelum itu ada melihat mangsa dan memintanya supaya beredar ke kawasan selamat kerana sedang mengalihkan batu simen dan besi di dalam premis itu, namun dia tidak perasan kelibat mangsa berada di belakang jentolak," katanya, hari ini.

Hoo berkata, mangsa selalu datang ke premis itu membeli barang berikutan bekerja sebagai tukang rumah dan saling mengenali antara satu sama lain.

Beliau berkata, mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 7:04 PM