Siti Rohana Idris


Tumpat: Enam lelaki termasuk dua remaja yang dicari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga asing di Tok Bali, Pasir Puteh pada 4 November lalu, tampil menyerah diri.

Mereka yang berusia antara 17 hingga 28 tahun itu hadir serentak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh pada jam 10.30 pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya menahan enam lelaki itu dan meneruskan siasatan terhadap kejadian seorang warga asing yang mayatnya ditemukan di jeti pendaratan ikan Tok Bali

"Kesemua individu itu tampil menyerah diri selepas kami membuat hebahan dan gambar mereka disiarkan baru-baru ini.

"Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 15 Disember ini untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir di Masjid Ar-Rahman mukim Kubang Batang, Wakaf Bharu di sini sempena program Imarah Masjid.

Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri dan Ketua Polis Balai Wakaf Bharu, Sarjan Mejar Abd Halim Shafai.

Dalam perkembangan lain, Shafien turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan jenayah penipuan dalam talian yang kini semakin meningkat terutama membabitkan pinjaman tidak wujud.

Beliau berkata, bermula Januari hingga 30 November lalu, sebanyak 110 kes dengan jumlah kerugian RM1.12 juta dicatatkan.

DATUK Shafien Mamat menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada sebahagian 80 golongan asnaf. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Shafien Mamat menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada sebahagian 80 golongan asnaf. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Kes 'scammer' meningkat kebelakangan ini dan kategori yang banyak dicatatkan adalah memohon pinjaman yang tidak wujud yang mana kemungkinan besar rakyat kita terdesak untuk buat permohonan kewangan.

"Apa yang boleh saya nasihatkan adalah jika ada keperluan untuk membuat permohonan pinjaman dan sebagainya, pergilah ke institusi perbankan yang sedia ada.

"Jangan sesekali berhubung menerusi dalam talian tanpa memeriksa latar belakang sebaliknya semak terlebih dahulu ketelusan atau ketepatan laman web yang ada," katanya.

Berita berkaitan:

  • Enam suspek diburu kes bunuh warga asing [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 5:39 PM