GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
M Hifzuddin Ikhsan


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) wajar dipertimbangkan untuk menyertai Barisan Nasional (BN) dalam memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara termasuk di Sarawak dapat diteruskan.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Shafezah Abdul Wahab berkata, sekiranya usaha itu dapat dicapai, ia mampu memberi pelbagai manfaat kepada penduduk negeri itu.

Katanya, hubungan mesra antara BN dan GPS perlu diterjemah dalam kerjasama politik secara rasmi dalam memastikan kesinambungan pembangunan Sarawak dapat diteruskan secara lebih berkesan dan meluas.

"Tanpa mengira apa keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) pada 18 Disember ini, BN wajar berbincang bersama Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg bagi menjemput GPS bersama BN.

"Kepimpinan komponen GPS sendiri bukan asing kepada BN kerana pernah menjadi antara parti yang membentuk Kerajaan Pusat sebelum 'berpisah' selepas Pilihan Raya Umum 2018 lalu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

PRN-12 menyaksikan BN pertama kali tidak menyertainya sejak 1974 berikutan langkah parti komponen di Sarawak meninggalkan gabungan itu susulan kegagalannya membentuk Kerajaan Pusat pada 2018.

Mengulas lanjut, Shafezah berkata, penyertaan GPS ke dalam BN juga membolehkannya meneruskan perjuangan dalam mengekalkan haknya seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Sekiranya bersama BN, GPS sebenarnya bukan sahaja boleh menuntut apa yang termaktub di bawah MA63, malah boleh meminta lebih banyak peruntukan disalurkan bagi membangunkan kawasan luar bandar negeri itu.

"Malah, mungkin tidak keterlaluan jika pemimpin GPS diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri mewakili wilayah Malaysia Timur seperti yang pernah dibangkitkan sebelum ini, boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian," katanya.

Beliau berkata, kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) pada 2016 lalu, wajar dijadikan bukti bahawa gabungan besar di peringkat Pusat dan negeri itu diterima semua etnik di Sarawak.

"Tidak timbul isu Sarawak perlu mengikut kerajaan Pusat jika GPS bersama BN kerana pemimpin Sarawak masih tetap untuk rakyatnya dan boleh terus menuntut isu berkaitan royalti minyak, sosioekonomi dan lebih banyak pembangunan baharu.

"Keputusan PRN Melaka memperlihatkan kecenderungan pengundi mahu kestabilan politik sealiran dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang dibawa Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sehingga membawa kemenangan kepada BN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 3:42 PM