CHIENG Jen ketika sidang media Persidangan DUN. FOTO Nadim Bokhari
CHIENG Jen ketika sidang media Persidangan DUN. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: DAP Sarawak mengakui penyertaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di dalam kerajaan perpaduan amat penting bagi memastikan kestabilan dan membantu membina semula negara.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, GPS itu sendiri menepati maksud sebenar istilah 'perpaduan' kerana gabungan parti tempatan Sarawak itu memiliki wakil daripada pelbagai kaum.

Justeru katanya, penyertaan GPS di dalam kerajaan perpaduan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan adalah keputusan wajar.

"Dengan hati yang ikhlas, saya memang mengharapkan GPS akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

"Sekarang adalah masa untuk kita memulihkan keadaan, membentuk perdamaian, mencari kesamaan dan membina semula negara kita yang tercinta," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan berkata demikian dalam perbahasan Belanjawan Sarawak 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurutnya, dengan pembentukan kerajaan perpaduan, semua pihak harus mengetepikan perbezaan dan bersama untuk membina semula negara serta memastikan kesejahteraan rakyat.

"Kita amat yakin kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa kestabilan politik negara seterusnya menarik pelabur asing.

"Bgaimanapun, kerajaan perpaduan tidak boleh menjadi kerajaan yang benar-benar perpaduan tanpa penyertaan GPS, sebuah gabungan parti politik yang menguasai Sarawak dan mempunyai bilangan Ahli Parlimen terbesar dari Sarawak," katanya.

Semalam, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pihaknya dan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan kerajaan perpaduan dibentuk demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 6:12 PM