Datin Seri Rosmah Mansor
Datin Seri Rosmah Mansor
Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini ditangguhkan sekali lagi berikutan status MySejahtera isteri bekas Perdana Menteri itu masih jingga.

Status MySejahtera jingga menunjukkan bahawa Rosmah mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-

19.

Sehubungan itu, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah memberitahu mahkamah anak guamnya hadir dan status MySejahtera Rosmah masih belum bertukar biru dan perkara itu disahkan oleh pendaftar mahkamah.

Difahamkan, hari ini adalah ulang tahun kelahirannya yang ke-70, bagaimanapun Rosmah hadir ke mahkamah untuk menghadiri perbicaraan dan hanya menunggu di dalam kereta.

Mendengar perkara itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan melapangkan tarikh perbicaraan dan memohon pihak pembelaan mengemas kini status Rosmah pada Isnin ini, untuk mengetahui sama ada masih jingga atau sebaliknya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram kemudiannya mencadangkan perbicaraan itu dijalankan secara hibrid, di mana Rosmah boleh memberi keterangan secara dalam talian sama ada di pejabat peguam atau di rumah dengan kehadiran pihak pembelaan dan pendakwaan.

Mendengar perkara itu, Mohamed Zaini, berkata beliau ada memikirkan perkara itu, namun tiada peruntukan undang-undang mengenainya.

"Saya tidak mahu menjejaskan keseluruhan perbicaraan hanya sebab ia okay pada peringkat ini. Saya mahu lebih berhati-hati," katanya.

Mohamed Zaini kemudiannya menetapkan tarikh tambahan bagi perbicaraan itu memandangkan masih terdapat dua saksi pembelaan yang perlu memberi keterangan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 23 hingga 24 Disember ini dan 13 serta 14 Januari depan untuk perbicaraan kes.

Selasa lalu, mahkamah menangguhkan perbicaraan kes itu berikutan status MySejahtera isteri bekas Perdana Menteri itu menunjukkan beliau mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah membenarkan pernyataan Rosmah yang dirakam ketika siasatan kes pengubahan wang haram, digunakan untuk mencabar kredibiliti beliau pada perbicaraan kes rasuah projek solar.

Rosmah, 70, didakwa meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu menerusi bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

Rosmah didakwa melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 hingga September 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 11:58 AM