GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Cermin belakang sebuah kereta dipecahkan menggunakan lesung batu oleh lelaki kurang siuman di Jalan Kenanga, Taman Dengkil Jaya, Dengkil pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berumur 27 yang juga anggota tentera darat.

Kamarul Azran berkata, dalam kejadian 7.39 pagi itu, mangsa dimaklumkan jiran bahawa cermin belakang Perodua Axia dipecahkan oleh seorang lelaki yang juga penduduk di taman berkenaan.

Katanya, jiran pengadu turut memberi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melalui aplikasi WhatApps dan penduduk mengetahui suspek kurang siuman.

"Pengadu memberitahu dia tidak pernah berselisih faham dengan suspek dan tidak mengetahui tujuan suspek memecahkan cermin belakang keretanya," katanya.

Kamarul Azran berkata, semakan rakaman CCTV mendapati objek yang digunakan suspek ialah batu lesung dan pada masa sama suspek turut menendang bahagian sisi kanan kereta.

Katanya, pada keesokan hari kira-kira 1 tengah hari, anggota polis Balai Dengkil membuat tangkapan terhadap lelaki berumur 40 tahun itu di kediamannya serta merampas barang kes.

"Siasatan mendapati suspek mempunyai empat rekod dadah dan satu jenayah.

"Suspek membuat pengakuan awal memecahkan cermin kereta berkenaan menggunakan lesung batu dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 8:18 PM