Nor Fazlina Abdul Rahim


LIMA negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Perak dan Pulau Pinang sehingga kini belum menandatangani Perjanjian Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, usaha menandatangani akta berkenaan penting dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersih, menerusi pengurusan sisa pepejal lebih teratur.

“Akta berkenaan memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih standard di seluruh negara selain akan memudahkan Kerajaan Persekutuan menghulurkan bantuan kepada kerajaan negeri dalam perkara ini.

“Kerajaan negeri juga akan mendapat pelbagai manfaat menerusi pelbagai program yang diaturkan menerusi akta berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Anti-Litter sempena ‘Kempen Jupo Sapoh Kutip Jange Tohok Kokse’ di Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Ismail Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Sdn Bhd Datuk Mohd Zain Hassan.

ZURAIDA (tengah) merasmikan Kempen Anti-Litter sempena ‘Kempen Jupo Sapoh Kutip Jange Tohok Kokse’ di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi
ZURAIDA (tengah) merasmikan Kempen Anti-Litter sempena ‘Kempen Jupo Sapoh Kutip Jange Tohok Kokse’ di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi

Pada majlis berkenaan, Alam Flora Sdn Bhd menyerahkan 12 lori sampah untuk kegunaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Kelantan dalam usaha membantu kerajaan negeri menguruskan sisa pepejal dengan lebih baik dan berkesan.

Pada masa sama, Zuraida berkata, Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri membuat perancangan jangka panjang untuk mewujudkan dua pusat Waste-to-Enegry (WTE) untuk memproses sampah dan menjadikannya sebagai bekalan elektrik.

“Menerusi pengurusan sampah ini saya harap ia dapat menjadikan Kelantan lebih bersih, lebih ceria dan akan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Pengurusan sampah menjadi satu simbol kepada sesebuah negeri kerana jika sampah diuruskan dengan baik, sekali gus mencerminkan kualiti hidup rakyat itu sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 2:17 PM