Balqis Jazimah Zahari


Batu Gajah: Laluan Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, di sini, yang terjejas akibat tanah runtuh baru-baru ini tidak boleh dibuka secara terburu-buru kepada pengguna jalan raya.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia kerana kerja baik pulih cerun sepanjang 100 meter yang terjejas itu perlu dibuat secara berhati-hati dari unit cerun Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Saya yakin (cerun runtuh) masih dalam proses pembaikan, mereka melakukan pembaikan dan mendapat nasihat teknikal terutama sekali dari unit cerun JKR ibu pejabat.

"Selepas mereka berpuas hati kawasan itu selamat untuk digunakan baru dia akan umum (untuk pembukaan semula laluan)," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) dan Maze Garden, di sini, hari ini.

Saarani berkata, kerja baik pulih itu berada di bawah tanggungjawab dan pemantauan JKR dan kerajaan negeri tidak boleh masuk campur.

LALUAN Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang terjejas akibat tanah runtuh (gambar fail). FOTO Ihsan Pembaca
LALUAN Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang terjejas akibat tanah runtuh (gambar fail). FOTO Ihsan Pembaca

"Saya yakin mereka kena buat secara berhati-hati dan kalau terpaksa ambil masa yang panjang itu pun mereka perlu buat kerana ia tidak boleh dibuat secara terburu-buru, takut nanti akan runtuh semula dan akan memakan kos yang lebih berganda," katanya.

Katanya, JKR juga perlu mengambil kira risiko pergerakan tanah yang mungkin masih berlaku di kawasan terbabit.

"Kita kena buat kajian sama ada potensi berlaku pergerakan tanah di kawasan itu atau di kawasan lain, setakat ini kita belum mendapat maklumat berapa lama laluan akan ditutup," katanya.

Baru-baru ini media melaporkan laluan yang terjejas dijangka akan dibuka pada 9 Disember sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 2:55 PM