GAMBAR hiasan. Lubuk Yu. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Lubuk Yu. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM3.64 juta bagi 25 projek melalui Projek Penyediaan Infrastruktur dan Fasiliti Pelancongan kawasan pelancongan Pahang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, antara fokus yang diberikan keutamaan ialah membaik pulih kemudahan pelancongan yang rosak.

Katanya, peruntukan itu turut membabitkan pembinaan kemudahan baharu bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.

"Ada produk pelancongan yang diberi nafas baharu di Pahang seperti Taman Negeri Rompin, Lubuk Yu (Maran), Titik Tengah Semenanjung (Temerloh), Sungai Lembing (Kuantan), Taman Negara dan Tasik Biru (Rompin).

"Produk pelancongan ini akan dipertingkatkan promosi kerana mampu menarik kedatangan pelancong kerana memiliki kelebihan tersendiri," katanya.

Beliau menjawab soalan Datin Samsiah Arshad (BN-Bukit Ibam) yang ingin tahu perancangan yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk membantu sektor pelancongan Pahang kembali bangkit kesan daripada penularan wabak Covid-19 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada pelancong dari luar Pahang yang turut sama mempromosikan produk pelancongan Pahang.

"Mereka berswafoto dan memuat naik gambar sama ada di Facebook, Instagram dan TikTok sebenarnya banyak membantu selain kita mengadakan pertandingan.

"Oleh itu, kerajaan negeri akan terus mempergiatkan promosi pelancongan di media sosial dan menghadiri pameran terutama dapat bertemu dengan penggiat pelancongan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 1:22 PM