GAMBAR yang dirakam pada 21 Oktober lalu ketika satu majlis makan malam menunjukkan Ismail Sabri menolak kerusi roda Sabbaruddin.
GAMBAR yang dirakam pada 21 Oktober lalu ketika satu majlis makan malam menunjukkan Ismail Sabri menolak kerusi roda Sabbaruddin.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: "Allahyarham adalah episod penting bagi sejarah perjuangan saya dalam dunia politik," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkongsi perasan sedih dan dukacita atas pemergian 'sifu' dan mentor politiknya, Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik dalam hantaran di Facebook rasminya, malam ini.

"Telah berpulang kepada Allah SWT, seorang insan yang sebahagian kehidupan saya 'terhutang' kepadanya.

"Sedih dan duka apabila menerima perkhabaran, sifu dan mentor politik saya, Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik meninggalkan kita semua selama-lamanya," katanya.

Ismail Sabri berkata, akan selamanya menjadi kenangan dan ingatan sewaktu Allahyarham menjadi Menteri Pelancongan Seni dan Budaya dari tahun 1987 sehingga 1996.

"Ketika saya berusia 27 tahun, Allahyarham melantik saya sebagai ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Temerloh pada 1987, sebelum dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Bahagian Temerloh beberapa bulan selepas itu.

"Pada 1995, saya memulakan karier politik dengan memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham," katanya.

Ismail Sabri berkata, ketika itu, banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang diperoleh berkat tunjuk ajar Allahyarham.

"Sesungguhnya Allahyarham seorang yang amat berdisiplin dan menepati waktu, malah sangat tekun dan berwibawa dalam melaksanakan amanahnya untuk rakyat dan negara.

"Segala ilmu dan tunjuk ajar Allahyarham, tidak pernah saya lupakan dan akan saya kenang sepanjang kehidupan ini," katanya.

Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang begitu besar, bukan sahaja kepadanya tetapi juga buat negara.

"Saya berdoa supaya seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan menerima kehilangan besar ini.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Berita berkaitan:

  • Jenazah Allahyarham Sabbaruddin dikebumi esok
  • Sabbaruddin Chik meninggal dunia
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 11:33 PM