AZIZUL Annuar Adenan. FOTO NADIM BOKHARI
AZIZUL Annuar Adenan. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Calon termuda Gabungan Parti Sarawak (GPS), Azizul Annuar Adenan, 30, berikrar untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan bapanya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu.

Beliau yang dipilih bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan ibunya, Puan Sri Jamilah Anu yang mengambil keputusan untuk tidak bertanding semula pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) berkata, banyak perkara yang dirintis ayah dan ibunya perlu beliau laksanakan jika diberi mandat untuk mewakili kawasan itu.

Anak bongsu Allahyarham Adenan itu berkata, beliau berterima kepada pucuk pimpinan GPS khususnya Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang memberi kepercayaan kepadanya.

"Saya juga terharu apabila ibu mengundur diri dan memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada penduduk Tanjung Datu selepas mereka (Adenan dan Jamilah) melakukannya sebelum ini," katanya.

Azizul berkata demikian ketika ditemui selepas beliau menerima watikah sebagai calon GPS daripada Abang Johari di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, petang semalam.

Beliau cukup dikenali di kawasan Tanjung Datu sejak era ayahnya mewakili kawasan itu, kemudian diteruskan ibunya yang dipilih selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2017.

Azizul mengakui berdepan sedikit tekanan selepas diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi yang menjadi legasi keluarganya itu dan bertekad akan melakukan yang terbaik dengan menjadikan pesanan arwah ayahnya sebagai pegangan.

"Ayah ketika hayatnya selalu berpesan, jika hendak buat sesuatu, mestilah bersungguh-sungguh dan itulah yang saya pegang," katanya.

Pada 2018 Azizul diangkat sebagai Ketua Pemuda PBB Tanjung Datu sekali gus memberi pendedahan lebih luas kepadanya untuk berkhidmat di kawasan itu.

"Terima kasih kepada akar umbi yang memberikan sokongan tidak berbelah bagi sejak ayah mewakili Tanjung Datu bermula tahun 2006 kemudian diteruskan oleh ibu saya pula.

"Selepas dipilih sebagai Ketua Pemuda PBB Tanjung Datu, kami merangka visi dan 'blue print' untuk terus membangunkan kawasan itu," katanya.

Menurutnya, ia merangkumi perancangan pembangunan semua sektor meliputi ekonomi, sosial dan infrastruktur.

"Sebagai pewaris kepimpinan kawasan itu daripada ayah dan ibu, sudah semestinya tanggungjawab yang besar saya pikul untuk menjaga Tanjung Datu yang keluasannya lebih besar dari Negeri Sembilan.

"Banyak lagi yang harus dilakukan khususnya bagi melonjakkan Tanjung Datu sebagai destinasi pelancongan utama di selatan Sarawak," katanya.

Pada PRN Ke -11 2016, Allahyarham Adenan memenangi kerusi Tanjung Datu dengan majoriti 5,892 undi.

Pada PRK yang diadakan susulan kematiannya pada 2017, isternya berjaya mengekalkan penguasaan di kawasan itu dengan majoriti yang lebih besar iaitu sebanyak 6,573 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 12:15 PM